Tahun 2024 semakin hampir melabuhkan
tirainya. Coretan ini ku kira mungkin yang terakhir untuk tahun 2024. Tiada
apa-apa yang membanggakan untuk aku kongsikan. Cuma aku perlahan-lahan belajar
untuk berdamai dengan takdir.
Klise sangat bunyinya kan. Perkara yang
paling aku dapat asimilasi dengan tabiat-tabiat yang mungkin dilabelkan sebagai
tebiat orang tua. Ye, menuju ke situ lah aku sekarang.
Aku tidak sesekali melabelkan aku dalam fasa
kemurungan kerana aku tiadalah meratapi kehidupan aku selama 43 tahun ni yang sebulan
lebih lagi bakal merubah ke angka 44 mengikut Tahun Masihi. Aku pilih untuk
lebih banyak menjauhi manusia dek kerana kuota di pejabat sudah terlalu penuh
dan belum lagi dikira kuota berinteraksi dengan manusia lain di telefon pintar.
Kerana itu aku kepingin untuk membela seekor makhluk berbulu yakni kucing tapi peraturan
kediaman aku pula tidak mengizinkannya menjadi kenyataan.
Semua ini memang aku salahkan pada virus
Covid-19 yang telah meragut keinginan aku bersosial secara nyata dan realiti.
Labellah aku sebagai manusia pelik atau jelik tapi itulah bahananya aku
terbawa-bawa kehidupan survival keseorangan selama hampir 3 bulan awalnya itu.
Setiap hari kucing-kucing jiran datang ke rumah seolah mereka datang nak
pastikan aku masih bernafas agar mereka tak ‘miss soru’. Hehehehe.
2020- Tahun yang gelap dan membawa
malapetaka berterusan sehingga aku tidak mampu melenyapkan rutin dan kesan
trauma. What a pathetic person I am. Kena jumpa pakar psikologi gamaknya! Setiap
detik kalau teringat pasti aku tidak lupa menitipkan doa agar Tuhan yang Esa tidak
meragut nyawaku melalu Izrael tanpa sesiapa di sisi. Tak ke bertentangan dengan
prinsip aku nak elakkan manusia tapi aku berdoa agar matiku di sisi manusia
lain. Maafkan aku Ya Allah.
2024- Aku Berjaya turunkan berat sehingga
beratku hampir ke BMI Normal iaitu 25.3 tapi tewas hanyut ke laut dalam
menjelang akhir 2024 ini. Hampir putus asa atau terlalu selesa dengan ubat
bekalan doctor sampai aku sudah seakan hilang motivasi diri nak menyihatkan
diri sendiri. Lupa jika terlantar itu nanti bisa membutuhkan pertolongan
manusia juga. Tuhan telah memberi teguran memberi petunjuk aku sahaja yang
masih tersesat di alam dunia ciptaan aku sendiri.
Kerjaya aku pula masih di takuk membawah. 5
tahun di sini kebergunaan aku semakin merosot dan aku mengakui aku tidak dapat
mengasah skil baru atau mendapat ilmu baru. Sekadar pergi kerja dan menunggu
untuk touch out untuk pulang. Bazir masa, wang dan kudratku. Permohonan tukar
ku masih di takuk sama. Tiada kepuasan di sini ditambah elemen-elemen negatif yang
berleluasa yang seolah diamalkan semenjak zaman Firaun. Ampuni dosaku Ya Tuhan.
Keluarkan aku dari Gedung janaan dosa ini. Mau tak berdosa hari-hari mengutuk
bila tidak selari dengan norma-norma kehidupan aku. Mungkin inilah penyebab lebel
stress aku meningkat.
Bangga dan aku tanpa henti mendoakan kejayaan orang
sekeliling aku agar lebih Berjaya dan sejahtera dalam mendepani kehidupan
mereka. Cukuplah aku berbakti sedemikian rupa. Aku yakin kejayaan mereka adalah
hasil usaha yang gigih dan tanpa jemu mereka dan berbaloilah dengan apa yang
mereka kecapi. Doa untuk kalian InsyaAllah dalam setiap penghujung solatku.
Tiada lagi tetapkan apa yang ingin dicapai tahun 2025 (bukanlah kerana aku tiada harapan hidup) tapi aku rasa seolah mempersendakan diri sendiri dengan 1001 macam perancangan dan target yang jarang sekali tercapai. Aku bahagia dengan cara aku.
Hidup ini Hidup Aku
-

