Monday, December 23, 2024

359/366

 

Tahun 2024 semakin hampir melabuhkan tirainya. Coretan ini ku kira mungkin yang terakhir untuk tahun 2024. Tiada apa-apa yang membanggakan untuk aku kongsikan. Cuma aku perlahan-lahan belajar untuk berdamai dengan takdir.

Klise sangat bunyinya kan. Perkara yang paling aku dapat asimilasi dengan tabiat-tabiat yang mungkin dilabelkan sebagai tebiat orang tua. Ye, menuju ke situ lah aku sekarang.

Aku tidak sesekali melabelkan aku dalam fasa kemurungan kerana aku tiadalah meratapi kehidupan aku selama 43 tahun ni yang sebulan lebih lagi bakal merubah ke angka 44 mengikut Tahun Masihi. Aku pilih untuk lebih banyak menjauhi manusia dek kerana kuota di pejabat sudah terlalu penuh dan belum lagi dikira kuota berinteraksi dengan manusia lain di telefon pintar. Kerana itu aku kepingin untuk membela seekor makhluk berbulu yakni kucing tapi peraturan kediaman aku pula tidak mengizinkannya menjadi kenyataan.

Semua ini memang aku salahkan pada virus Covid-19 yang telah meragut keinginan aku bersosial secara nyata dan realiti. Labellah aku sebagai manusia pelik atau jelik tapi itulah bahananya aku terbawa-bawa kehidupan survival keseorangan selama hampir 3 bulan awalnya itu. Setiap hari kucing-kucing jiran datang ke rumah seolah mereka datang nak pastikan aku masih bernafas agar mereka tak ‘miss soru’. Hehehehe.

2020- Tahun yang gelap dan membawa malapetaka berterusan sehingga aku tidak mampu melenyapkan rutin dan kesan trauma. What a pathetic person I am. Kena jumpa pakar psikologi gamaknya! Setiap detik kalau teringat pasti aku tidak lupa menitipkan doa agar Tuhan yang Esa tidak meragut nyawaku melalu Izrael tanpa sesiapa di sisi. Tak ke bertentangan dengan prinsip aku nak elakkan manusia tapi aku berdoa agar matiku di sisi manusia lain. Maafkan aku Ya Allah.

2024- Aku Berjaya turunkan berat sehingga beratku hampir ke BMI Normal iaitu 25.3 tapi tewas hanyut ke laut dalam menjelang akhir 2024 ini. Hampir putus asa atau terlalu selesa dengan ubat bekalan doctor sampai aku sudah seakan hilang motivasi diri nak menyihatkan diri sendiri. Lupa jika terlantar itu nanti bisa membutuhkan pertolongan manusia juga. Tuhan telah memberi teguran memberi petunjuk aku sahaja yang masih tersesat di alam dunia ciptaan aku sendiri.

Kerjaya aku pula masih di takuk membawah. 5 tahun di sini kebergunaan aku semakin merosot dan aku mengakui aku tidak dapat mengasah skil baru atau mendapat ilmu baru. Sekadar pergi kerja dan menunggu untuk touch out untuk pulang. Bazir masa, wang dan kudratku. Permohonan tukar ku masih di takuk sama. Tiada kepuasan di sini ditambah elemen-elemen negatif yang berleluasa yang seolah diamalkan semenjak zaman Firaun. Ampuni dosaku Ya Tuhan. Keluarkan aku dari Gedung janaan dosa ini. Mau tak berdosa hari-hari mengutuk bila tidak selari dengan norma-norma kehidupan aku. Mungkin inilah penyebab lebel stress aku meningkat.

 Dari segi peningkatan skil aku akui ada beberapa perkara yang aku rasa aku jauh tertinggal dalam era MADANI globalisasi dewasa ini. Masih belum mengerti ap aitu Atificial Intelligent (AI) dengan sepenuhnya. Masih merangkak dalam menggunakan aplikasi Canva, CapCut apatah lagi Aplikasi TikTok dan juga terma-terma yang digunapakai ummah. Sangatlah aku naif dari segi itu. Otak makin berkarat dengan lompong waktu yang kurang diisi dengan bacaan kitab Quran dan juga bahan ilmiah lain. Sesungguhnya aku rindukan waktu menelaah untuk menduduki peperiksaan semester di universiti.

Bangga dan aku tanpa henti mendoakan kejayaan orang sekeliling aku agar lebih Berjaya dan sejahtera dalam mendepani kehidupan mereka. Cukuplah aku berbakti sedemikian rupa. Aku yakin kejayaan mereka adalah hasil usaha yang gigih dan tanpa jemu mereka dan berbaloilah dengan apa yang mereka kecapi. Doa untuk kalian InsyaAllah dalam setiap penghujung solatku.

 

Tiada lagi tetapkan apa yang ingin dicapai tahun 2025 (bukanlah kerana aku tiada harapan hidup) tapi aku rasa seolah mempersendakan diri sendiri dengan 1001 macam perancangan dan target yang jarang sekali tercapai. Aku bahagia dengan cara aku.

 

Hidup ini Hidup Aku

-     

Sunday, December 15, 2024

Bersihkan Sawang

 Assalamualaikum.

Harini keje macam biasa. Baki 15 hari lagi (lebih kurang 2 minggu) untuk menjengah ke Tahun 2025.

Tak payah cerita kisah azam dan goal tahun 2024 sebab macam dah terlupa. Faktor usia mungkin.

Tahun 2024 ni dijalani dengan awalnya menjaga kesihatan dan lama-kelamaan ke lautan dalam. Lalu dipanjatkan doa agar tiada apa-apa kemudaratan yang melanda diri ini.

Semoga kita semua sihat-sihat belaka dan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan